^ ^

Saturday, 17 November 2012

Belia nikmati rebat RM200 bagi pembelian telefon bimbit pintar 3G




KUALA LUMPUR: Golongan belia akan menikmati rebat sebanyak RM200 secara one-off atau bayar sekali bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G, yang bertujuan membuka akses untuk golongan itu kepada lebuh raya maklumat, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan hari ini.

Perdana Menteri berkata, pakej khas itu, yang akan diperkenalkan kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan syarikat telekomunikasi, terbuka kepada belia berumur antara 21 hingga 30 tahun dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.
"Sebanyak RM300 juta disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia," kata Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat, hari ini. Najib berkata, kerajaan juga akan menganjurkan Festival Belia Putrajaya yang menjadi perhimpunan belia terbesar negara sempena perisytiharan 2013 sebagai Tahun Kesukarelaan Nasional. 

Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini berjaya mengumpulkan kehadiran 1.5 juta belia pada Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya pada Mei lepas. 

Najib berkata, dalam usaha melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi, berintergriti, kreatif dan berinovasi, kerajaan melancarkan program Y-Creative yang melibatkan persatuan belia di seluruh negara. 

Bagi mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan negara, kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan Biru 1Malaysia for Youth atau 1M4U bagi golongan itu mempersembah idea-idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan. 
"Tiga idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan 1Malaysia," kata Najib. 

Katanya, bagi membantu usahawan muda dalam bidang informasi, komunikasi dan teknologi (ICT), sebuah yayasan dengan nama New Entrepreneur Foundation akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM50 juta bagi program latihan dan bimbingan. 

Selain itu, Young Entrepreneur Fund juga diwujudkan dengan peruntukan RM50 juta, disediakan oleh SME Bank. 

Dana pinjaman mudah alih ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar pinjaman sebanyak dua peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak RM100 serta bayaran balik selama tujuh tahun. 

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

Bajet 2013(skim rumah pertamaku)





KUALA LUMPUR: Sebanyak 123,000 unit rumah harga berpatutan akan dibina di kawasan-kawasan strategik tahun depan, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan hari ini.

Untuk itu, kerajaan memperuntukkan RM1.9 bilion bagi membolehkan inisiatif itu dilaksanakan oleh Perbadanan Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara.

Sebanyak RM500 juta akan dibelanjakan PR1MA untuk membina 50,000 unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit, kata Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2013 bertemakan "Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati" di Dewan Rakyat di sini. Antara bandar utama itu ialah Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor), Johor Bahru (Johor), Seremban (Negeri Sembilan) dan Kuantan (Pahang).

"Kerajaan sedar, perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang memiliki rumah mereka sendiri.




"Ini bukan sahaja satu imperatif yang bersifat ekonomi, malahan ia adalah imperatif moral bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab. Oleh itu, kerajaan menjadikan hasrat ini sebagai keutamaan berterusan," katanya.

Perdana Menteri berkata, di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah Cara Perumahan berjumlah RM500 juta untuk membina 30,000 unit rumah secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta.
Harga rumah yang ditawarkan di bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding harga di pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian terbuka, katanya.

Beliau berkata, sebanyak RM320 juta diperuntukkan melalui SPNB untuk membina 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik.

"Projek perumahan yang SPNB akan laksanakan segera termasuk membina 1,855 unit apartment kos sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh yang akan dijual pada harga sekitar RM120,00 hingga 220,000 seunit," katanya.

Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, Najib berkata, SPNB akan membina 21,000 unit rumah untuk 2013 yang berharga RM65,000 dengan subsidi sebanyak RM20,000 serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak dua peratus, katanya.

Selain itu, peruntukan sejumlah RM543 juta akan disediakan untuk Jabatan Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Sistem Pembinaan Berindustri (IBS), yang akan dijual antara RM30,000 hingga RM40,000 seunit berbanding harga pasaran sekitar RM120,000 seunit.

"Dua puluh peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.

Najib berkata, bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancar melalui Belanjawan lepas akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam perseorangan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan atau RM10,000 sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri.

Syarat keperluan simpanan tiga bulan deposit serta tempoh minimum bekerja enam bulan akan dimansuhkan, katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga bercadang melanjutkan pengecualian duti setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah dinaikkan sehingga RM400,000.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan bersetuju untuk menetapkan wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam ditetapkan pada kadar RM100 tanpa mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.

Pada masa ini, wang proses yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah sebanyak RM1 bagi setiap RM1,000 pinjaman yang dipohon bagi pinjaman kali pertama dan RM2 bagi pinjaman kali kedua.


Perdana Menteri berkata, Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) akan disusun semula dan kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan pinjaman perumahan kerajaan yang baru berkuatkuasa Januari tahun hadapan sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan kerajaan.

Beliau berkata segala manfaat dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan malah ditambah baik dan penjawat awam masih tetap membayar empat peratus kadar faedah ke atas pinjaman perumahan.

Najib berkata, pada masa ini, kerajaan meminjam sebanyak RM6 bilion setahun untuk membiayai keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh BPP, Kementerian Kewangan. - BERNAMA 

Kalau Anda Suka Entry Ini Like dan Comment

 
Copyright © . All Right Reserved by Intanurulfateha.Com